Assalamualaikum WBT..
Bismillahirahmanirahim..
Coretan dari hati yang ingin meluahkan.
Saya tidak pernah menduga bahawa ALLAH SWT akan memberikan
saya peluang untuk berkhidmat di rumah anak yatim itu. Meskipun waktu yang
diperuntukkan kepada saya hanya pada waktu kelapangan di hujung minggu namun
nikmat yang sementara itu terus kekal di hati saya menjadi kenangan yang
terindah.
Saban hari saya asyik memikirkan, bagaimana perasaan mereka
yang sudah kehilangan permata berharga di dalam hidup mereka. saya yang jauh
beribu batu dari permata hidup saya sering kali merasa rindu kepada mereka.
tetapi, mereka? Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui perasaan anak-anak
kecil itu.
Pertama kali bertapak di sana, perasaan saya bercampur baur!
Saya takut, saya tertekan, saya teruja, saya bimbang! Semua saya rasa, saya
takut hati saya luluh melihat mereka, saya teruja untuk bersama mereka,
menyelami apa yang mereka rasakan. Namun sehari bersama mereka jelas menunjukkan
mereka amat memerlukan. Ya mereka memerlukan kasih sayang, mereka memerlukan
perhatian, mereka memerlukan sahabat untuk berkongsi.
Alhamdulillah, Allah memberi saya peluang untuk saya
berkongsi dengan mereka, Allah memberi saya pelajaran bahawa sesusah dan
seteruk ujian yang saya terima, teruk lagi ujian yang terpaksa mereka hadapi.
Saya diuji dengan ujian kesakitan, namun saya masih ada mereka-mereka yang baik
untuk bersama di sisi saya. Tetapi! Anak kecil itu diuji dengan ujian
kehilangan permata berharga mereka, mereka kehilangan kasih sayang pada usia
yang masih kecil, usia yang mana manusia amat-amat memerlukan kasih sayang
untuk membesar dengan sempurna.
Tetapi, ALLAH itu Maha Mengetahui. Setiap saat yang akan
datang sudah DIA ketahui apa yang akan terjadi kepada setiap hambanNya. Mungkin
ALLAH menguji anak kecil itu dengan ujian kehilangan, namun ALLAH memberikan
mereka hati yang cukup kuat, cukup tabah dan cukup tekal untuk menghadapi
kehilangan itu! ALLAH memberi saya kekuatan, kelapangan, pelajaran yang
terindah untuk saya belajar bahawa dalam hidup ini jangan pernah mengalah,
jangan pernah berputus asa! Perjuangan harus diteruskan kerana disetiap
perjalanan itu ALLAH ada disisi yang sungguh dekat untuk membantu
hamba-hambaNya. SubhanaAllah..
Kunjungan setiap minggu ke sana Alhamdulillah diterima baik
oleh mereka. apa yang paling mengembirakan ialah, mereka masih ingat akan nama
penuh saya meskipun saya pernah tidak ke sana dalam tempoh hampir satu bulan!
Mereka masih teruja untuk belajar, bermain, berkongsi dengan saya! Allahuakbar,
indah sungguh percaturan ALLAH. Kini, saya sedang bercuti, mereka juga begitu,
namun mereka sentiasa dihati saya, jauh dimata namun dekat di hati dan di dalam
doa.
“Ya Allah, lindungilah mereka, limpahkan mereka dengan kasih
sayangMu, berikanlah mereka segenap kekuatan untuk terus berjuang dijalan Mu Ya
Allah. Amin Ya Rabbal Alamin. “
Notakaki :: Teach For The Need (TFTN)! Terima kasih! Syukur
Alhamdulillah Ya Allah.
No comments:
Post a Comment