Saturday, January 26, 2013

Kata 52

Assalamualaikum semua.


Hujung minggu ke-4 di Ipoh.

Sekali lagi lawatan ke Dahikmah. Minggu ini, awal kami turun meredah lebuhraya untuk ke Gopeng, Perak demi jiwa-jiwa muda yang dahagakan ilmu.

Minggu ini matlamat kami satu, iaitu mahu memulakan kelas setelah 3 minggu kami membantu mama membalut buku anak-anak Dahikmah.

Pelbagai coretan, idea dan keinginan yang ingin saya laksanakan tatkala tiba di Dahikmah. Namun sehebat mana perancangan kita, hebat lagi perancangan ALLAH SWT.

26 Januari 2013 ; Kelas pertama di Dahikmah bermula dan berjalan seperti biasa. Dengan bantuan 6 orang sukarelawan kerja yang nampak mudah ini sebenarnya amat sukar untuk dilaksanakan. Mungkin saya silap membuat percaturan. Membuat jadual dan membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan. namun, kami diberi amanah untuk membantu anak-anak yang masih tidak lancar untuk membaca dan menulis.

Saya sendiri telah memilih seorang insan yang sudah berusia 13tahun namun masih tidak lancar membaca dan  kadang-kadang masih tertukar huruf ABC. SubhanAllah, Allah Maha Berkuasa, meskipun dia sedar akan kelemahan dirinya namun dia mempunyai jiwa dan semangat yang kuat untuk belajar dan terus belajar.

Jika disusuli sejarah hidupnya di Dahikmah, dia adalah salah seorang daripada anak-anak yang TERamat nakal, namun sejak memasuki sekolah menengah sikap dan tindakannya sungguh berbeza. Kunjungan saya yang pertama bagi tahun 2013 menampakkan dia duduk bersama anak-anak Dahikmah yang masih muda usianya. 

Pernah saya bertanya, bagaimana pelajaran di sekolah? Jawabnya, belajar la Kak Mimi, tak faham tanya cikgu. 

Saya bertanya lagi kawan-kawan ok? Dia menjawab, kawan-kawan saya semua pakat buli dan ejek saya. Dia ejek saya pendek, kecik, tak pandai membaca.

Jawapan yang diberikan membuatkan saya terus tertarik untuk bertanya.

Terus apa yang awak buat bila kawan-kawan awak buli awak? dan dijawabnya, senyap je la Kak Mimi. saya malas dah la nak gaduh-gaduh. buat sakit hati jea.. saya nak belajar.

Saya pandang wajahnya tidak berkelip. Jawapan akhirnya membuatkan saya tersentak. Saat itu saya seolah-olah ingin memberitahu kepada satu dunia yang mengenalinya bahawa dia sudah BERUBAH SEPENUHNYA. alhamdulillah.

Itu monolog kunjungan pertama, kedua dan ketiga. Hari ini, kunjungan saya yang keempat menyaksikan dia begitu rajin membantu ustaz membersihkan kawasan kantin. Penyapu tidak lekang dari tangannya. Lantas tiba waktu kelas, saya meminta dia mandi dan bersiap untuk ke kelas.

10 minit menanti akhirnya dia tiba. Saya mulakan dengan ABC. lancar dan tertib. bila di tunjuk satu-satu huruf ABC tanpa urutan, dia menjadi resah gelisah. bingung mahu menjawab. lihat, itulah masalahnya. terlalu menekankan ABC mengikut lagu sehingga lupa jika bukan ikut urutannya.

Minit seterusnya saya teruskan dengan bacaan perkataan mudah dan dua suku kata. meskipun gagap dan kurang lancar namun saya lihat kesungguhan dia untuk terus membaca semakin tinggi. selesai membaca berulang kali 2 muka surat kami berhenti dan memberi laluan kepada solat zohor. kemudian dia dilawat oleh keluarganya.

Begitulah kisah seorang insan yang ingin sekali menuntut ilmu. Meskipun dia kerap kali dibuli dan diejek, namun semangatnya kental. Allahu Allah, semoga anak ini diberi kecerdasan akal dan fikiran serta diterangkan hatinya dengan cahaya nurMu. Amin.

Itu kisah anak kecil yang sedang menginjak dewasa. Jiwa dan semangat muda yang terus ingin mencuba dan berjaya walaupun dihina. Tetapi bagaimana dengan kita?

Mampukah kita menyaingi anak kecil ini dalam melalui arus kehidupan?

Akan tiba suatu saat nanti, kita akan jatuh dengan kelemahan diri sendiri. Namun, adakah kita memilih untuk terus jatuh ataupun kita memilih untuk bangkit melawan kata-kata kejian?

Percayalah, sesuatu yang sakit dan pahit pada awalnya jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas pasti akan menemui kejayaan dan kemanisan.

Akhir kalam, apa yang berlaku dalam setiap saat dan minit hidup kita adalah ujian, pelajaran dan jawapan daripada ALLAH SWT. Jadikan kisah orang sekeliling sebagai panduan tambahan kepada kehidupan kita. Doakan semoga Allah memberi apa yang terbaik untuk diri kita dan orang lain.

Foto 26 Januari 2013 ;

Jiwa-jiwa yang ingin mencuba.









*Ya Allah, sesungguhNya Engkaulah yang memegang hati-hati kami. Lembutkanlah lisan dan hati kami Ya Allah. Kurniakanlah kami hidayah dan petunjukMu. Berikanlah kami kebahagian di dunia dan di akhirat serta berikanlah kami semua kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin.*

notakaki : Mohon turut mendoakan adik-adik kesayangan saya di Dahikmah berjaya dalam semua perkara dan semoga Allah permudahkan urusan saya dan rakan-rakan untuk terus membantu mereka. Amin. Terima kasih. Moga anda semua diberkati ALLAH SWT. :)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...