Wednesday, June 8, 2011

Wanita Tua & Tempe =)

Assalamualaikum..


Kisahnya berkisar tentang seorang wanita tua yang menjual tempe. Bagi mereka yang pernah mendengar kisah ini, hayatilah dengan jiwa yang benar, nescaya anda akan dapat melihat satu pencerahan yang terang. Bagi mereka yang tidak berkesempatan, marilah kita ambil kekuatan dari kisah ini untuk dijadikan pencetus rasa cinta ILAHI.


Kisahnya bermula di sebuah kampung yang terletak di kawasan pedalaman Pulau Jawa. Di kampung tersebut, menetap seorang wanita tua yang sangat kuat beribadat. Dia berniaga di pasar dengan menjual tempe yang dibuatnya sendiri dan hanya itulah sumber pendapatan untuk menyara kehidupannya. Pada suatu pagi seperti biasa, ketika sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia terkejut apabila mendapati tempenya yang diperbuat daripada kacang soya masih belum menjadi dan hanya separuh masak.


Kebiasaannya, tempe-tempe yang diadunkan itu akan masak pada jangka waktu yang biasa dan dia akan membawanya ke pasar untuk dijual. Pada fikirannya, ia mungkin hanya beberapa bungkus saja yang belum menjadi. Namun setelah diperiksa, dia menjadi bertambah runsing kerana mendapati kesemua bungkusan tempenya belum menjadi!


Wanita tua itu amat berdukacita kerana tempe tersebut tidak dapat dijual seperti biasa. Ia akan menyebabkan kerugian dan tiadalah sumber kewangan pada hari tersebut. Tetapi dia seorang yang kuat beribadat. Lantaran itu, dia yakin dengan kekuasaan-NYA. Apatah lagi, dia teringat firman ALLAH yang menyatakan bahawa DIA dapat melakukan perkara-perkara yang di luar jangkaan kita dan tiada bagi-NYA yang mustahil.


Tanpa berlengah lagi, wanita itu terus sahaja mengangkat kedua tangannya lalu berdoa, “Ya ALLAH..aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe. Bantulah aku, Ya ALLAH. Amin”.


Walaupun doanya ringkas tetapi si wanita ini berdoa dengan sepenuh hati bahawa ALLAH pasti mengabulkan doanya. Selesai berdoa dengan penuh keyakinan, dengan tenang dia menekan bungkusan tempe itu dengan hujung jari dan membuka sedikit untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Setelah melihat bungkusan tersebut, dia termenung seketika kerana kacang soya itu tetap seperti sebelumnya. Namun, sememangnya dia seorang yang amat berfikiran positif. Dia tidak berputus asa kerana menganggap doanya itu mungkin kurang jelas didengar oleh ALLAH.


Maka dengan penuh keyakinan, tangannya diangkat kembali untuk bermunajatkan doa kepada DIA Yang Maha Esa. Dia berdoa, “Ya ALLAH..aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mutu pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soya ini kepada tempe, Ya ALLAH. Amin.”


Kali ini dia yakin doanya akan lengkap dan dimakbulkan. Lantas dengan penuh harapan, sekali lagi dia membuka bungkusan tempenya. Namun, alangkah terkejutnya kerana apa yang didoakannya tadi masih belum lagi berhasil. Tempenya masih lagi separuh menjadi.


Kesedihan mula menguasai diri apatah lagi hari sudah semakin tinggi. Pasti sudah ramai orang menuju ke pasar tetapi dia masih lagi dibelenggu masalah. Seperti yang dikatakan tadi, wanita tua ini amat berfikiran positif. Justeru itu, dia tidak kecewa dengan apa yang dialaminya kerana begitu yakin dengan DIA Yang Maha Mengetahui. Lalu dia mengambil keputusan untuk terus pergi ke pasar dengan membawa tempe-tempenya yang separuh matang.


Dia tetap berserah kepada ALLAH dan berdoa agar doanya termakbul ketika sampai di pasar nanti. Dia yakin, keajaiban akan berlaku. Jangkaannya, apabila sampai di pasar, tempe-tempenya akan masak dan dapat dijual.


Sebelum memulakan perjalanan, dia bermohon kepada ALLAH dengan penuh keimanan, “Ya ALLAH..aku percaya ENGKAU akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, ENGKAU kurniakanlah keajabiban ini buatku. Jadikanlah tempe ini, Ya ALLAH. Amin.”


Setelah berdoa, dia pun melangkah keluar dari rumah dengan penuh keyakinan. Sepanjang perjalanannya, dia tidak putus-putus berdoa.


Sampai sahaja di pasar, tanpa berlengah dia meletakkan barang-barangnya. Dia benar-benar yakin bahawa tempenya sudah menjadi dan dia akan dapat rezeki daripada jualannya itu seperti selalu.


Penuh debaran, dia membuka bakul, lalu jarinya menekan setiap bungkusan tempe yang ada. Dengan tertib, dia membuka sedikit daun pembungkus tempe untuk melihat keajaiban yang berlaku. Air mukanya berubah dan dadanya berdebar kencang kerana tempenya masih lagi separuh jadi. Nafasnya ditarik sedalam mungkin untuk menghilangkan rasa panic menyelubungi diri. Hatinya mula kecewa walaupun mulutnya masih lagi berkata positif. Namun, hati menguasai segala.


Wanita tua ini mula merasakan ketidakadilan dalam hidupnya. Dia berasakan ALLAH tidak berlaku adil padanya dan tiada kasihan kepadanya yang tua itu. Jadi hari itu tiada jualan, maka tiadalah wang yang masuk, tiadalah rezeki dan hidupnya akan bertambah susah kerana selama ini hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


Wanita tua ini akhirnya mengambil keputusan untuk duduk tanpa mempamerkan tempenya lerana percaya tiada siapa yang akan membeli tempenya yang hanya separuh jadi.


Waktu berlalu dan hari semakin petang. Pasar yang tadinya riuh kini mula sunyi. Wanita tua ini mengambil kesempatan meninjau teman-temannya yang menjual tempe. Lebih mengecewakan, tempe-tempe mereka semua habis dijual.


Dia kembali duduk memandang bumi dan menjadi begitu lesu kerana tidak sanggup menghadapi kenyataan yang tempenya tidak laku. Tetapi berbekalkan iman yang masih lagi utuh, dia menaruh penuh keyakinan bahawa ALLAH pasti akan menolongnya walau dengan apa cara sekalipun.


Dengan penuh kejiwaan, dia berdoa lagi, “Ya ALLAH..berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”


Belum sempat doanya dihabiskan, dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. “Maaf ya, saya ingin bertanya sama ada mak cik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tetapi masih belum berjumpa lagi.”


Wanita tua itu seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Dia begitu terkejut kerana selama berjualan, belum pernah sekali pun didatangi orang yang mahu membeli tempe yang separuh jadi. Pelik, itulah getus hatinya.


Sebelum menjawab pertanyaan wanita yang berdiri di hadapannya itu, dia terus berdoa, “Ya ALLAH, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti asalnya, Ya ALLAH. Amin.”


Dengan penuh pengharapan, dia membuka sedikit daun pembungkus tempenya. Alhamdulillah hatinya gembira tidak terkata kerana tempe-tempenya masih belum menjadi. Dia terus berterima kasih dan melafazkan rasa syukur ke hadrat ILAHI atas makbulnya doa tadi.


Dia terus memberitahu pelanggan yang sedang menanti jawapan bahawa tempe yang dicari ada di hadapan mata. Alhamdulillah.. wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita itu pergi, dia sempat bertanya, “Kenapa hendak membeli tempe yang belum jadi?”


Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin sangat hendak makan tempe. Jadi, terpaksalah membeli tempe yang belum menjadi kerana kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti sampai di sana, tempe ini sudah tidak elok lagi. Spontan, jauh di sudut hati wanita tua itu, terdetik rasa syukurnya kerana doanya telah pun dimakbulkan oleh DIA Yang Maha Pengasih.

Notakaki :: Begitulah kita, sering memikirkan penyelesaian yang kita lihat dengan akal hingga terlupa yang penyelesaian hanya boleh dilihat dengan gambaran besar. Sesungguhnya, kuasa Ya Rabb melangkaui keterbatasan akal, tidak mampu terjangkau oleh kita sebagai hamba-Nya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...