Friday, July 29, 2011

Jangan Pernah Putus Asa =)






Assalamualaikum WBT..


Apa khabar semua, harap anda semua sihat di dalam jagaan Ilahi. Hari demi hari tanpa sedar bulan Ramadhan hampir menjelang tiba. Hari yang dilalui kadang kala terusik dengan ujian ALLAH di persimpangan jalan. Ujian yang kadang kala datang menyapa menyebabkan hati berputus asa untuk meneruskan perjalanan. Putus asa, putus harapan semuanya sikap negatif yang harus dibuang jauh-jauh. Terkadang jari menulis memberi semangat pada orang, bibir bertutur melantunkan semangat namun tatkala saya berputus asa adakala saya juga payah untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh ini.


Berada bersama mereka yang penuh sifat motivasi, penuh dengan sifat tabah dan kuat dalam menghadapi dugaan hidup memberi saya suatu pengajaran yang susah untuk diperolehi. Saya seorang yang mudah patah semangat, bila ujian datang menyapa saya sering meratapi tentang apa yang terjadi. Baba saya sering memarahi saya kerana bersikap sedemikian, yela ayah mana yang sanggup melihat anaknya sering berada dalam kesedihan sedangkan ubat yang paling mujarab dalam menghadapi kesakitan adalah dengan bersikap gembira dan redha dengan ujian yang dihadapi.


Kesakitan yang datang sekali sekala menyebabkan perasaan putus asa turut datang mengisi kekosongan hati. Mengapa putus asa turut wujud dalam perasaan ini? Jawapannya mudah sahaja, datangnya untuk menguji hati manusia samaada perasaan itu mahu diteruskan atau berusaha untuk bangkit dari putus asa dan terus melangkah menuju ke hadapan. Dulu saya sering berputus asa, putus asa dari meneruskan sebarang rawatan kerana sakit saya makin lama makin saya rasakan sakit. Namun akhirnya saya menyedari, kesakitan yang ALLAH berikan itu tidak lain tidak bukan untuk mendekatkan diri saya kepada-Nya. Kesakitan itu ALLAH berikan saya untuk saya salurkan kekuatan kepada mereka yang memerlukan, memberi saya pengajaran yang susah orang nak dapat.


Jangan pernah putus asa, kerana putus asa akan menghalang jalan kita untuk terus ke hadapan. Tatkala perjalanan kita diganggu dengan ujian, terima lah dengan hati terbuka. Jangan pernah menyerah kalah, jangan pernah menyesali, jangan pernah berputus asa dan jangan pernah menyalahkan takdir. Ingatlah ALLAH menguji hamba-Nya jika hamba-Nya mampu dengan ujian-Nya. Berdoa dan terus berdoa kerana kuasa doa mampu mengembalikan sesuatu kembali seperti sediakala.


Jika suatu ketika, putus asa sudah sebati dengan diri saya, namun semakin lama semakin saya cuba untuk membuang sikap itu dan berharap ianya terus terhapus. Jika dulu saya sering berasa malas untuk menjalani rawatan, namun kini tarikh ke hospital merupakan tarikh yang saya tunggu-tunggu kerana saya berharap sakit saya akan semakin sembuh. Namun jangan pernah lupa untuk memanjatkan doa pada Ilahi kerana jika tanpa kuasa-Nya mana mungkin manusia dapat mencipta sebuah alat untuk menyembuhkan sesuatu. Jika tanpa kuasa-Nya mana mungkin manusia akan sihat seperti sediakala. Jika tanpa kuasa-Nya mana mungkin keadaan kembali seperti dahulu. Ingatlah kuasa di tangan Tuhan. Kesembuhan ada pada-Nya, kekuatan ada pada-Nya, kegembiraan ada pada-Nya dan segala sesuatu ada pada-Nya. Jika kita meratapi kesakitan yang kita hadapi, kesusahan yang kita hadapi pada manusia adakah mereka mampu untuk mengembalikan sesuatu seperti sediakala? Mereka hanya mampu mengungkapkan kata sabar, kuat, tabah tetapi ALLAH mampu menyihatkan kita semula dengan hanya mengadu pada-Nya. Jangan pernah melupakan DIA. Fitrah manusia, pasti kita akan mencari orang yang paling rapat dengan kita untuk mengadu, mengharap mereka memahami kita. Saya sering begitu, tatkala ujian datang menyapa, mereka saya cari dahulu sehingga saya lupakan DIA seketika. Bila mereka tidak dapat membantu, barulah hati dan diri mencari DIA Yang Maha Esa. Sungguh pentingkan diri sendiri. Sedangkan bila hati dan diri mencari DIA barulah jalan penyelesaian nampak di hadapan. Berita gembira datang menjelma. YA ALLAH, berkuasa-Nya Engkau..


Putus asa merupakan satu sikap yang paling dibenci ALLAH. Allah tidak suka pada manusia yang sering putus asa kerana mereka akan mudah melakukan perkara yang tidak elok. Jangan putus asa, kuat hadapi segala yang datang menjelma dengan hati yang terbuka kerana ALLAH tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya dan ALLAH ingin memberi pengajaran kepada kita. Positif selalu dan ceria-ceria selalu. Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menghadapi ujian hidup.


Notakaki :: Hidup ibarat roda, kadang kala kita di atas, kadang kala kita dibawah. Walau di mana kita berada roda itu perlu terus berpusing dan berpusing. Jangan pernah biarkan roda itu berhenti jika belum sampai waktunya..(^___^)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...