Thursday, October 28, 2010

Garam Di Cawan... Garam Di Kolam...

Seorang ustaz mendekati muridnya yang kelihatan murung dan suka menyendiri sejak kebelakangan ini. "Kenapa kau selalu nampak macam tak gembira. Bukankah banyak benda cantik dan indah di dunia ini?" sang ustaz agama itu bertanya. si murid, Aiman yang berusia 16 tahun mengangkatkan kepala sambil merenung wajah ustaz.

"Ustaz, sejak akhir-akhir ini hidup saya penuh masalah hingga saya sukar untuk tersenyum. Masalah yang datang tak habis-habis, seperti air mengalir dari lereng gunung" jawab Aiman.

Ustaz tersenyum saja. "Aiman, ambil secawan air dan dua genggam garam. Bawalah ke mari. Biar ustaz perbaiki suasana hati Aiman yang sedang rungsing dan berkecamuk." Si murid pun beredar dan berjalan longlai ke rumah. Dia pergi ke dapur untuk mencari barang seperti yang diminta ustaz.

"Cuba ambil segenggam garam dan masukkan ke dalam cawan yang ada air putih. Kacau dulu dan selepas itu teguk sedikit airnya." Aiman melakukannya.

Wajahnya meringis kerana meminum air masin. "Bagaimana rasanya? Tanya ustaz, cukup masin, perut Aiman jadi mual,"jawab si murid dengan lidah yang terjulur. Ustaz tersenyum melihat perlakuan gelabah muridnya yang baru menelan air masin.

"Sekarang Aiman ikut ustaz,"kata ustaz sambil memimpin tangan Aiman yang sedang menggenggam garam dan gelas menuju ke sebuah kolam yang agak besar dan jernih airnya, tidak jauh dari situ.

"Ambil garam yang seggenggam lagi dan tebarkan ke dalam kolam." Aiman menebarkan seggenggam garam ke dalam kolam tanpa banyak soal. Apa yang pasti, rasa masin di mulutnya belum hilang. Ia ingin meludahkan rasa masin di mulutnya, tapi tidak dilakukannya. Dia rasa tidak sopan meludah di hadapan mursyid.

"Sekarang cuba kamu minum air kolam yang jernih ini," kata ustaz sambil mencari pangkin kayu di tepi kolam itu. Si murid menangkup kedua-dua tangannya dan mengambil air kolam dan menghirupnya. Ketika air dingin mengalir di kerongkong, ustaz mencelah. Bagaimana rasanya?"

"Segar, memang cukup segar. Sedikit pun tidak masin!" kata si murid sambil mencuci bibirnya. Tentu saja air kolam itu berasal daripada sumber mata air dan airnya mengalir dari kawasan gunung. Adakah terasa garam yang kau taburkan?" tanya ustaz.

"Tidak ustaz! "kata si murid sambil menghirup lagi air kolam yang dingin dan segar. Sang guru hanya tersenyum dan membiarkan muridnya mengambil dan minum air tasik sampai puas.

Tiada manusia bebas daripada masalah.

Sambil menepuk bahu Aiman, ustaz memberitahu: "Beginilah Aiman, segala masalah dalam hidup ini seperti seggemggam garam. Tidak kurang dan tidak lebih. Banyaknya masalah dan penderitaan yang kau hadapi di dalam hidup ini sudah ditentukan Allah S.W.T., sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian.

Tidak ada satu pun manusia, walau dia seorang nabi bebas daripada penderitaan dan masalah."

Si murid terdiam dan khusyuk mendengarkan. "Tapi rasa masin daripada penderitaan yang dialami itu sangat bergantung daripada besarnya kalbu (hati) yang menampungnya. Jadi, supaya tidak merasa derita, berhentilah menjadi cawan dan jadikan kalbu di dalam dadamu itu sebesar kolam.

Begitulah, masalah yang kecil menjadi besar tatkala hati tidak berjiwa besar. Banyak kita saksikan dalam perjalanan hidup kita ada orang saling bertengkar malah berbunuhan hanya kerana masalah kecil. Masalah yang kecil itu menjadi besar tatkala hatinya sempit.

Besarkanlah ruang hati kita dan jadilah kita lebih bijaksana dalam menghadapi masalah. Nescaya hasilnya akan terhampar seiring dengan terdampar luas ruang hati kita. Bersemangatlah menjalani kehidupan. Berfikirlah bagaimana untuk hidup berkeluarga dan bermasyarakat. Jangan menjadikan masalah kecil sebagai besar hingga membebankan fikiran...(^_^*)



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...