Assalamualaikum WBT semua!
Bismillahirahmanirahim.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya
olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia menanggung dosa
kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau bersalah. Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah
Engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan
maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkau
Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang
kafir.”
(Surah Al-Baqarah : 286)
Tajuk : Bukan senang nak dapat pahala jaga orang sakit.
Frasa di atas pernah dikongsi oleh Dr Safiah kepada saya
suatu ketika dahulu. Ketika saya berpeluang untuk menemani mama saya membawa
nenek saya ke klinik. Pulang dari klinik sehinggalah berhari-hari saya
memikirkan apa maksud tersirat kepada frasa ini. Pernah sekali saya meletakkan
frasa ni di status FB meskipun pelbagai persoalan sedang bermain di minda saya.
Namun kini, bila saya mula menginjak dewasa saya mula sedar
apa yang dimaksudkan dengan frasa itu. Berada di rumah selama hampir 2 bulan
memberikan saya pelbagai ilmu dan pengalaman baharu. Dulu ketika sibuk di
kolej, saya tidak berpeluang untuk merasa kehidupan di rumah meskipun saya
duduk di rumah sewa. Berada di kolej bermaksud anda sibuk dengan pelbagai
tugasan dalam dan luar.
Tetapi apabila berada di rumah, suasananya begitu berbeza!
Cuti saya bermula dengan hari perkahwinan kakak saya, berada di sampingnya dan
membantu apa yang patut memberikan saya satu pengalaman yang berbeza. Dan, Bersama
saya dan keluarga di teratak kami, tinggal nenek saya yang semakin hari semakin
uzur. Saya pernah bersama dia ketika dia masih kuat dan bertenaga sehinggalah
siapa dia sekarang, berada di sampingnya ibarat saya berada di sisi seorang
nenek yang dahulunya memberikan wang saku kepada cucunya untuk ke sekolah
sehinggalah cucunya pula yang memberikan wang saku kepadanya untuk belanja.
Nenek saya seorang yang sungguh berbeza dengan waktu
dulunya. Dia sudah dimamah usia, wanita yang sering merindui anaknya, cucunya
serta cicitnya hanya mampu menatap gambar mereka untuk melepaskan rindu. Wanita
yang dahulunya suka memberi sebiji kuih mahupun sebungkus nasi untuk sesiapa
sahaja yang datang ke kedainya, namun sekarang dia hanya mampu mengenangkan itu
semua.
Nenek saya pernah terkena strok songsang namun Alhamdulillah
berjaya di rawat dengan segera. Bermula dari kejadian itu, dia kelihatan lemah
dan sakit. Berpeluang untuk menjaganya membuatkan hidup ini lebih bererti. Dia
pernah menjaga saya ketika saya sakit. Mungkin ini masanya untuk saya
membalasnya. Dia kini tinggal bersama dengan mama. Namun ada ketikanya, mak
saudara dan pak saudara saya akan bergilir menjaganya.
Sakitnya semakin teruk, dia sudah lupa dengan apa yang
terjadi, kadang-kadang dia akan menjadi seorang yang pendiam, kadang-kadang dia
akan menjadi seorang yang kuat makan dan kadang-kadang dia akan menangis
sendirian. Dia kerap kali mengatakan dia tidak mampu dan tidak terasa untuk
membuang air kecil dan air besar, namun hakikatnya dia sedang lakukannya. Dia
makan dengan begitu banyak berhari-hari, namun dia tidak langsung berasa sakit
perut.
Dugaan yang perlu mama saya hadapi adalah apabila dia buang
air tanpa dia sedari. Saya tahu kondisi mama saya, pulang dari sekolah dalam
keadaan yang penat namun terpaksa hadapi semua itu. Ditambah pula dengan mama
saya seorang wanita yang tegas dan garang membuatkan dia sering tertekan dengan
kejadian itu. Menghadapi situasi itu, buatkan saya terfikir akan frasa di atas.
“Bukan mudah nak dapatkan pahala menjaga orang sakit.”
Iye, bukan mudah untuk mendapatkannya, kerana pahala itu
akan diperoleh bila mana kita ikhlas, sabar dan redha untuk menjaganya atau
menjaga sesiapa sahaja yang sedang sakit.
Secara mudahnya, hidup adalah ujian. Apa sahaja perkara yang
datang kepada kita adalah satu bentuk ujian daripada Allah. Ujian untuk kita
menjaga orang sakit, meskipun kita tertekan, penat dan selalu sahaja ingin
marah, ingat balik apa yang pernah Allah katakan dalam Al-Quran iaitu ‘Aku
tidak akan membebani umatKu dengan sesuatu yang tidak dapat mereka pikul.’
Lihat, Allah berikan kita ujian yang mampu kita pikul dan yang mampu kita
hadapi.
Saya pernah mendengar cerita mengenai seorang saudara mama
saya yang pernah menjaga ibu mertuanya ketika sakit. Ketika Ibu mertuanya
sakit, dia dilayan dengan teruk. Segala usaha yang dilakukan oleh menantunya
tidak dipandang. Nasi yang tidak enak terus dibaling begitu sahaja. Pelbagai
perkara lagi yang berlaku sehingga tidak dapat saya gambarkan apa yang akan
terjadi jika kejadian ini berlaku pada nenek saya. Namun, sebelum meninggal
dunia, ibu mertuanya sempat meminta maaf kepada menantunya itu. Lihat, saya
dapat rasakan betapa beruntungnya menantu itu dan berapa banyak kebaikan yang
diperolehnya hanya kerana sabar menjaga ibu mertuanya.
Oleh itu, dalam memperoleh pahala ketika menjaga orang sakit
adalah sukar. Sukar jika kita menganggapnya sebagai bebanan hidup kita. Orang
sakit sendiri diuji dengan pelbagai perkara dan itulah di nyatakan kepada kita
bahawa ambillah hikmah daripada mereka yang sakit, kerana ia adalah salah satu
bentuk peringatan kepada kita agar tidak mudah lupa bahawa ALLAH Maha Berkuasa.
Akhirnya, saya mendoakan agar kita semua diberi kekuatan dan
ketabahan untuk menghadapi apa sahaja bentuk ujian dan dugaan yang diberikan
oleh Allah SWT. Hadapi dengan tenang, sabar dan redha. Mudah-mudahan kita
tergolong dalam golongan orang-orang yang mendapat hikmah. Amin!
Cuti sekolah saya bakal berakhir, mama saya akan tinggal
seorang menjaga nenek saya. Saya berdoa dan berharap moga-moga mama serta
seluruh kaum keluarga saya diberi kekuatan dan ketabahan untuk menjaga nenek saya.
Amin!
“Barang siapa yang diuji oleh ALLAH SWT dan dia bersabar
serta redha dengan ujiannya, maka dia akan peroleh hikmah dan pahala dan
barangsiapa yang diuji oleh ALLAH SWT namun dia tidak bersabar serta redha ke
atasnya, maka sia-sialah semuanya.”
Dipetik daripada kata-kata imam khutbah
jumaat.
Notakaki : to treats yourself use your head but to treats
other use your heart.