Sunday, December 30, 2012

Kata 46


Assalamualaikum WBT semua!



Bismillahirahmanirahim.


“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau bersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkau Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.”
(Surah Al-Baqarah : 286)


Tajuk : Bukan senang nak dapat pahala jaga orang sakit.


Frasa di atas pernah dikongsi oleh Dr Safiah kepada saya suatu ketika dahulu. Ketika saya berpeluang untuk menemani mama saya membawa nenek saya ke klinik. Pulang dari klinik sehinggalah berhari-hari saya memikirkan apa maksud tersirat kepada frasa ini. Pernah sekali saya meletakkan frasa ni di status FB meskipun pelbagai persoalan sedang bermain di minda saya.

Namun kini, bila saya mula menginjak dewasa saya mula sedar apa yang dimaksudkan dengan frasa itu. Berada di rumah selama hampir 2 bulan memberikan saya pelbagai ilmu dan pengalaman baharu. Dulu ketika sibuk di kolej, saya tidak berpeluang untuk merasa kehidupan di rumah meskipun saya duduk di rumah sewa. Berada di kolej bermaksud anda sibuk dengan pelbagai tugasan dalam dan luar.

Tetapi apabila berada di rumah, suasananya begitu berbeza! Cuti saya bermula dengan hari perkahwinan kakak saya, berada di sampingnya dan membantu apa yang patut memberikan saya satu pengalaman yang berbeza. Dan, Bersama saya dan keluarga di teratak kami, tinggal nenek saya yang semakin hari semakin uzur. Saya pernah bersama dia ketika dia masih kuat dan bertenaga sehinggalah siapa dia sekarang, berada di sampingnya ibarat saya berada di sisi seorang nenek yang dahulunya memberikan wang saku kepada cucunya untuk ke sekolah sehinggalah cucunya pula yang memberikan wang saku kepadanya untuk belanja.

Nenek saya seorang yang sungguh berbeza dengan waktu dulunya. Dia sudah dimamah usia, wanita yang sering merindui anaknya, cucunya serta cicitnya hanya mampu menatap gambar mereka untuk melepaskan rindu. Wanita yang dahulunya suka memberi sebiji kuih mahupun sebungkus nasi untuk sesiapa sahaja yang datang ke kedainya, namun sekarang dia hanya mampu mengenangkan itu semua.

Nenek saya pernah terkena strok songsang namun Alhamdulillah berjaya di rawat dengan segera. Bermula dari kejadian itu, dia kelihatan lemah dan sakit. Berpeluang untuk menjaganya membuatkan hidup ini lebih bererti. Dia pernah menjaga saya ketika saya sakit. Mungkin ini masanya untuk saya membalasnya. Dia kini tinggal bersama dengan mama. Namun ada ketikanya, mak saudara dan pak saudara saya akan bergilir menjaganya.

Sakitnya semakin teruk, dia sudah lupa dengan apa yang terjadi, kadang-kadang dia akan menjadi seorang yang pendiam, kadang-kadang dia akan menjadi seorang yang kuat makan dan kadang-kadang dia akan menangis sendirian. Dia kerap kali mengatakan dia tidak mampu dan tidak terasa untuk membuang air kecil dan air besar, namun hakikatnya dia sedang lakukannya. Dia makan dengan begitu banyak berhari-hari, namun dia tidak langsung berasa sakit perut.

Dugaan yang perlu mama saya hadapi adalah apabila dia buang air tanpa dia sedari. Saya tahu kondisi mama saya, pulang dari sekolah dalam keadaan yang penat namun terpaksa hadapi semua itu. Ditambah pula dengan mama saya seorang wanita yang tegas dan garang membuatkan dia sering tertekan dengan kejadian itu. Menghadapi situasi itu, buatkan saya terfikir akan frasa di atas. “Bukan mudah nak dapatkan pahala menjaga orang sakit.”

Iye, bukan mudah untuk mendapatkannya, kerana pahala itu akan diperoleh bila mana kita ikhlas, sabar dan redha untuk menjaganya atau menjaga sesiapa sahaja yang sedang sakit.
Secara mudahnya, hidup adalah ujian. Apa sahaja perkara yang datang kepada kita adalah satu bentuk ujian daripada Allah. Ujian untuk kita menjaga orang sakit, meskipun kita tertekan, penat dan selalu sahaja ingin marah, ingat balik apa yang pernah Allah katakan dalam Al-Quran iaitu ‘Aku tidak akan membebani umatKu dengan sesuatu yang tidak dapat mereka pikul.’ Lihat, Allah berikan kita ujian yang mampu kita pikul dan yang mampu kita hadapi.

Saya pernah mendengar cerita mengenai seorang saudara mama saya yang pernah menjaga ibu mertuanya ketika sakit. Ketika Ibu mertuanya sakit, dia dilayan dengan teruk. Segala usaha yang dilakukan oleh menantunya tidak dipandang. Nasi yang tidak enak terus dibaling begitu sahaja. Pelbagai perkara lagi yang berlaku sehingga tidak dapat saya gambarkan apa yang akan terjadi jika kejadian ini berlaku pada nenek saya. Namun, sebelum meninggal dunia, ibu mertuanya sempat meminta maaf kepada menantunya itu. Lihat, saya dapat rasakan betapa beruntungnya menantu itu dan berapa banyak kebaikan yang diperolehnya hanya kerana sabar menjaga ibu mertuanya.

Oleh itu, dalam memperoleh pahala ketika menjaga orang sakit adalah sukar. Sukar jika kita menganggapnya sebagai bebanan hidup kita. Orang sakit sendiri diuji dengan pelbagai perkara dan itulah di nyatakan kepada kita bahawa ambillah hikmah daripada mereka yang sakit, kerana ia adalah salah satu bentuk peringatan kepada kita agar tidak mudah lupa bahawa ALLAH Maha Berkuasa.

Akhirnya, saya mendoakan agar kita semua diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi apa sahaja bentuk ujian dan dugaan yang diberikan oleh Allah SWT. Hadapi dengan tenang, sabar dan redha. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang mendapat hikmah. Amin!
Cuti sekolah saya bakal berakhir, mama saya akan tinggal seorang menjaga nenek saya. Saya berdoa dan berharap moga-moga mama serta seluruh kaum keluarga saya diberi kekuatan dan ketabahan untuk menjaga nenek saya. Amin!

Barang siapa yang diuji oleh ALLAH SWT dan dia bersabar serta redha dengan ujiannya, maka dia akan peroleh hikmah dan pahala dan barangsiapa yang diuji oleh ALLAH SWT namun dia tidak bersabar serta redha ke atasnya, maka sia-sialah semuanya.” 
Dipetik daripada kata-kata imam khutbah jumaat.

Notakaki : to treats yourself use your head but to treats other use your heart.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...