Saturday, December 10, 2011

Kekuatan =)







Assalamualaikum WBT..



Apa khabar, harap semuanya sihat sejahtera? Bulan 12 sudah tiba, bulan yang menunjukkan bahawa tahun ini sudah hampir ke penghujungnya, meskipun tahun Islam sudah masuk beberapa hari yang lepas. Dan, ohhh bulan 12 dalam kalender saya merupakan bulan yang penuh dengan temujanji bersama doktor dihospital. Semua ini gara-gara saya menangguhkan semua rawatan ke bulan ini kerana tak mahu menganggu waktu belajar disamping mengelakkan diri dari penat berulang alik dari Ipoh ke Besut. Satu perjalanan yang jauh..



Rawatan pertama untuk bulan ini ialah Kimo-iodine.. Rawatan kimo kedua saya untuk selama saya hidup. Bermalam di hospital merupakan suatu perkara yang membosankan saya, menghadap siling, menunggu doktor masuk bagi membuat rawatan, menunggu masa lawatan dan sebagainya. Mungkin bukan ini yang ingin saya ceritakan sebab pengalaman berada di hospital akan anda rasai sendiri jika anda berpeluang untuk masuk ke sana.



Saya yakin, rata-rata dari kalian pasti akan trauma dan takut apabila mendengar perkataan ‘kimoterapi’ sebab perkataan ini merupakan mimpi ngeri bagi mereka yang menghidap penyakit kronik. Juga merupakan perkataan yang paling saya tidak suka. Siapa yang suka menjalani rawatan yang menyakitkan dan meletihkan, pasti tiada bukan tapi itu sahaja rawatan yang boleh mengurangkan kesakitan yang dialami.


Jika dulu saya takut untuk menghadapinya, namun sekarang saya yakin, hati saya begitu kuat untuk menghadapinya. Tipsnya mudah saja :-


# Doa : kuasa doa mampu mengubah segala-galanya.. Jangan pernah putus harapan untuk berdoa. Ketika ALLAH SWT mendatangkan ujian buat kita, itu tandanya Dia suka mendengar suara hambaNya merintih meminta bantuan dariNya. Berdoa lah selalu semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan untuk kita dan memberi kekuatan untuk kita menghadapi ujian dariNya.


# Solat : solat sunat dua rakaat dan berdoalah kepada ALLAH dan mengadulah segala permintaan anda dalam sujud kepadaNya.


# Ubati hati : ubati hati dengan membaca Al-Quran, InsyaALLAH ketenangan itu akan dirasai..


# Positif : saya tahu, sukar untuk menjadi positif bila terpaksa menjalani rawatan ini atau ketika menghadapi ujian hidup, namun hanya itu caranya. Positif dengan rawatan ini kerana rawatan ini untuk menyembuhkan anda. Minda yang sentiasa berfikiran positif akan turut mengalirkan kuasa positif dalam badan anda, oleh itu anda tidak akan rasa tertekan dengan rawatan ini.


# Ceria dan senyum selalu : rahsia untuk cepat sembuh adalah dengan mengukirkan senyuman. Pernah dengar mengenai ‘Sebuah senyuman dapat menutup seribu kesakitan’. Benar, bila anda senyum orang tidak akan tahu bahawa anda sakit dan diri anda akan sentiasa sihat dan yakin dengan senyuman. Baba saya pernah berpesan, ‘baba tahu kamu kuat, senyumlah sayang, kesakitan itu pasti akan berkurangan’. Benar kata baba saya, bila saya sentiasa senyum saya rasa diri saya makin sihat dan saya tidak rasa saya sedang sakit!


# Sibukkan diri anda : banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan dari duduk bersendirian. Sibukkan diri dengan perkara yang kalian suka dan pastinya kalian terlupa akan perkara yang tidak patut difikirkan. Cuba lah..(^___^*)


# Luahkan : ye luahkan apa yang anda rasa, kesakitan yang anda rasa pada orang yang anda percayai. Saya pernah lakukan, Alhamdulillah semangat saya kian pulih dengan kata-kata yang diberikan. Semoga beliau diberkati ALLAH SWT..amin.. Carilah mereka yang anda yakin boleh membantu anda. InsyaALLAH anda akan rasai semangat itu.. Selepas menjalani rawatan ini, mama tempat saya mengadu. Tempat saya mengadu bahawa saya akan loya selepas makan, saya rasa pening, saya tak sedap badan. Semua saya adukan pada mama, ubat mama, dia buatkan air bacaan Yassin kepada saya. Alhamdulillah doa ibu sungguh mujarab.



Jangan sesekali bersedih hati tatkala disapa dengan ujian, ketahuilah ALLAH tidak akan sesekali menimpakan ujian buat hambanya jika hambanya tidak mampu dengan ujian itu. ALLAH SWT itu Maha Mengetahui akan kekuatan hambanya. Diberikan ujian tanda kasih dan sayang terhadap hambanya. Kuatlah, tabahlah dan tersenyumlah kerana anda orang yang bertuah untuk memikul ujian ini. Jangan ditanya mengapa aku yang harus menerima namun bersyukurlah kerana aku yang dipilihNya. Semoga kita semua akan sentiasa kuat untuk menghadapi segala ujian dariNya. InsyaALLAH..


Notakaki : bersedia untuk rawatan seterusnya. I’m strong enough, Syukur Alhamdulillah.. (^__^*)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...