Tuesday, June 14, 2011

Akhirnya ;)




Assalamualaikum WBT

Hai semua!! Apa khabar? Harap anda semua sihat di dalam jagaan Ilahi. Saya Alhamdulillah sihat.


Ari nie impian saya menjadi realiti. Realiti yang saya jumpa di hospital. Sakit yang saya alami membuatkan saya sering berulang alik ke hospital. Setiap kali ke hospital hanya satu harapan saya iaitu saya mengharapkan doktor cakap ‘awak da sihat’. Ye, iaitu yang saya harapkan.


Pagi tadi sekali lagi saya melangkah ke hospital dan harapan saya tidak pernah putus. Hari nie juga saya bakal mendengar keputusan scan mengenai tahap kanser yang ada dalam badan saya. Menunggu nama saya dipanggil oleh jururawat menambahkan debaran di hati saya.


Alhamdulillah beberapa lama menunggu, nama saya dipanggil juga akhirnya. Melangkah ke bilik doktor masih juga dengan harapan yang sama. Selepas menjalani beberapa rawatan, doktor membacakan keputusan yang diperoleh dari unit onkologi. Kata doktor laporan scan menyatakan bahawa sel kanser yang aktif masih ada dalam badan saya tapi berada dalam kuantiti yang sedikit dan tidak membahayakan. Dua minggu lagi satu rawatan kimoiodine akan dijalankan dan berharap agar sel kanser itu dapat dihapuskan terus.


Mungkin anda fikir, benda nie nampak macam teruk lagi namun ia merupakan berita gembira buat saya. Keputusan bertambah baik berbanding dulu yang mana doktor menyatakan bahawa kanser saya akan menyerang paru-paru dan hati. Meskipun ada lagi sel kanser yang aktif itu namun ia tidak membahayakan dan tidak merebak ke tempat lain. Nak tahu tak, pertama kali saya keluar ke hospital tanpa air mata yang mengalir di pipi. Hehe, Alhamdulillah syukur di atas kurniaanNya. (^___^)


Terima kasih buat semua yang banyak memberi semangat dan sokongan kepada saya dalam melayari ujian ini. Sesungguhnya tanpa doa dan semangat kalian, mana mungkin saya berada di tahap sebegini dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi khabar gembira ini.


Buat anda semua, ingatlah di saat anda menghadapi sebarang ujian tidak kira apa sekalipun ujian itu, ingatlah bahawa ALLAH itu Maha Mendengar, DIA mendengar setiap doa hamba-Nya. Berdoalah kepada-Nya. DIA yang mendatangkan kesakitan dan ubat penyembuh juga ada pada-Nya. Bersangka baiklah kepada ALLAH SWT. Di saat kita mengeluh mengapa aku yang harus menerima ujian ini ingatlah, ALLAH yang mencipta kita, DIA Maha Mengetahui apa kelebihan dan kekurangan diri. DIA datangkan ujian kepada kita sebab DIA tahu yang kita mampu memikul ujian yang diberi itu. Lalui setiap ujian itu dengan penuh kesabaran, InsyaALLAH berita gembira akan hadir juga selepas itu kerana setiap sesuatu itu ada pasangannya, kesakitan ada kesembuhan, kelemahan ada kekuatan, kesedihan ada kegembiraan dan banyak lagi. Ingatlah setelah kita melalui kesedihan itu, ALLAH pasti akan hadirkan kegembiraan itu.


Firman ALLAH yang bermaksud :

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berila khabar gembira kepada orang yang sabar. – surah Al-Baqarah : 155 -


“Usah risau akan masalah kerana ia adalah sesuatu yang baik untuk kita. Tanpa masalah, kita pasti tidak mampu mengenal diri. Ia juga adalah tanda-tanda seruan ALLAH SWT agar kita datang segera kepada-NYA. Ucapkanlah Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un yang bermaksud sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada ALLAH kami kembali.”


Notakaki :: Meskipun di saat kita sakit, doktor akan membekalkan ubat-ubatan buat kita namun ingatlah kesembuhan bukan di tangan doktor. Kesembuhan sebenar ada pada ALLAH SWT kerana DIA yang datangkan penyakit sebagai ujian buat kita dan kesembuhan ada pada-Nya. Berdoalah selalu semoga kita diberi kesembuhan dan sentiasalah berbaik sangka kepada-NYA. Di datangkan ujian bukan untuk menyeksa kita tetapi untuk memberi kita pengajaran, melatih kita untuk menjadi manusia yang lebih bersabar dan mendekatkan kita kepada-Nya. Semoga hidup kita akan lebih diberkati ALLAH SWT. Amin (^___^)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...