Wednesday, April 13, 2011

Hapuskan & Hilangkan ;)

Hapuskan Air Mata di Pipi, Hilangkan Lara di Hati

Rabu, 13 April 2011.

Kegelisahan, kesedihan, kedukaan dan air mata adalah sebahagian dalam kehidupan di dunia. Titisan air mata yang bermuara dari hati dan berselimutkan kegelisahan jiwa terkadang memilukan, hingga membuat keresahan dan kebimbangan. Kedukaan yang teramat sangat akan menyebabkan kepedihan yang menyeksakan rongga dada. – dipetik dari buku Ya Allah aku tak ingin sendiri -..

Kegembiraan dalam menjalani kehidupan, bukankah itu sebuah fitrah? Semua manusia inginkan hidupnya bahagia tanpa rasa sedih, tanpa perlu terjatuh, tanpa perlu melalui jalan yang berliku. Namun, kadang kala semua itu hadir sehingga telah menjadi sebahagian dari hidup kita.

Mengapa perlu dibiarkan air mata itu mengalir, jika senyuman di bibir manismu itu mampu untuk melawan kesedihan yang bersarang di hati..? Mengapa kita sering kali menyalahkan takdir, menyalahkan orang lain, menyalahkan diri sendiri tatkala ujian itu datang menjenguk? Renunglah kembali saat kita bergembira, adakah hati kita bertaut pada yang Maha Esa, ingat kembali saat kita perolehi sesuatu, adakah bibir kita bertasbih mengucap syukur padaNya.

Letih..

Sungguh amat letih jiwa dan raga. Kadangkala hati tidak mampu untuk meneruskan, hati tidak mampu bersabar, hati tidak mampu untuk kuat.

Namun, Allah SWT menciptakan akal untuk kita berfikir, merenung dan menghayati akan apa yang telah DIA kurniakan kepada kita. Saat DIA timpakan kita dengan ujian, itu semua untuk menghapuskan dosa-dosa kita serta tarbiyah dari Allah. Saat DIA hilangkan sesuatu dari hidup kita, DIA ingin menggantikan sesuatu yang lebih baik dari sebelum ini. Saat DIA melambatkan permintaan kita, DIA ingin mendengar rintihan doa kita & usaha kita untuk mendapatkannya. Renunglah, Allah itu Maha Mengetahui. DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Allah itu Maha Penyayang, DIA tak akan timpakan hambaNya dengan sesuatu yang tidak boleh dipikul atau digalasi.

Saat Allah timpakan kita ujian, maka bersyukurlah kerana Allah ingat akan kita. Allah mahu kita dekat denganNya supaya kita sentiasa merintih berdoa kepadaNya. Jangan mudah berputus asa, yakin lah jalan bahagia sedang menanti anda di hadapan sana.

Sabarlah… kerana,

Bukankah mentari akan selalu menghiasi pagi dengan kemewahan sinar keemasannya. Malam masih indah dengan sinar lembut rembulan yang di pagar bintang gemilang. Kicauan bening burung malam pun selalu riang bercanda di kegelapan. Senyumlah, laksana senyum mempesona butir embun pagi yang selalu setia menyapa.

Hapuskan air mata di pipimu, hilangkan lara di hatimu. Terimalah semua sebagai sebahagian dari perjalanan hidup ini. Dengan kebesaran hati dan jiwa, kita pasti akan temui apa rahsia di balik titian kehidupan yang telah dijalani. Bersabarlah dengan ujian itu, redha lah dengan apa yang tertimpa itu. Yakinlah akan janji Allah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. *penulis :NSJ,12.00..

Notakaki :: Tahap sabar dalam diri kita menggambarkan siapa diri kita. Dalam agama turut dicatatkan sabar sebahagian daripada iman. Orang yang tidak sabar, imannya lemah. Mereka adalah alat bagi menguji diri kita. Semoga terus kuat untuk bertahan..:)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...