Sinar Kebangkitan.
Aku adalah seorang insan yang pernah bertarung nyawa untuk terus mencari sinar dalam kehidupan yang dikatakan sungguh indah ini. Alhamdulillah sinar itu telah aku peroleh setelah segala ombak dan ranjau telah aku tempuhi.
Aku merupakan seorang insan yang masih menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi. Perjalanan sebagai seorang pelajar banyak mengajar aku mengenai erti kehidupan, ketabahan dan kecekalan. Melalui pelajaran-pelajaran inilah aku terus berdiri menempuhi hidup ini.
Kita mungkin tidak pernah mengimpikan untuk jatuh sakit. Fitrah seorang manusia, kita pasti mahukan hidup kita sempurna, sihat tanpa ada kesakitan, kaya tanpa ada papa kedana dan sebagainya. Namun kita hanya mampu merancang tapi Allah Yang Maha Berkuasa yang menentukan segalanya.
Kehidupan yang sungguh bahagia dan tenang telah aku lalui hampir sedekad lamanya. Namun ketika usiaku mencecah 14 tahun, aku sering ditimpa sakit. Sakit yang aku rasakan kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada. Sakit ini juga kadang kala mengganggu hidupku sebagai seorang penuntut ilmu. Sakit ini berlarutan sehingga bertahun lamanya dan sehinggalah pada suatu ketika mamaku mendapati terdapat perubahan pada tengkukku.
Aku yang pada ketika itu sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi terus ke hospital berdekatan untuk menjalani pemeriksaan doktor. Terasa dunia ini gelap apabila mendapat perkhabaran dari doktor mengenai sakit yang dialami. Kata doktor aku disyaki menghidap sakit tiriod di sebelah kanan tengkukku dan ia sudah mencapai saiz yang besar serta berjangkit ke sebelah kiri. Subhanallah, aku tidak tahu bagaimana harus aku hadapi berita itu seorang diri tanpa ada keluarga di sisi. Namun ku gagahi tangan ku ini untuk menghubungi keluarga menyatakan perkhabaran yang baru diterima.
Hari demi hari aku lalui dengan penuh keazaman. Solat hajat, bacaan Yassin dan doa memohon keampunan tidak pernah kutinggalkan kerana aku yakin dengan kekuasaan Allah SWT, DIA akan menyembuhkan aku. Bertahun-tahun aku bertarung melawan kesakitan ini meskipun banyak perkara yang menghalang seperti kekeliruan dari pihak hospital, kekangan dari diri aku sendiri yang telah berpindah tempat belajar dan sebagainya. Sehingga pada suatu tahap aku telah berhenti berjumpa doktor kerana tertekan dengan sikap main tarik tali yang mereka lakukan.
Namun, setelah berbulan-bulan hingga bertahun-tahun aku bersabar dengan sakit yang dialami, sakit itu datang menjenguk kembali. Datang dengan harapan mahu dirinya dihalau keluar dari badanku. Kali ini dengan tekad yang tinggi aku menjenguk klinik swasta dengan harapan semuanya berakhir dengan cepat. Namun aku pulang dengan perasaan hampa kerana kata doktor bengkak aku sudah semakin membesar dan perlu mendapat rawatan pakar kerana doktor seperti mereka sudah tidak mampu merawatku lagi. Doktor itu turut menyarankan kepadaku seorang doktor pakar di sebuah hospital swasta yang terkenal.
Dengan menantikan elaun bulanan dari pihak institut untuk dibuat kos pembayaran, aku melangkah memasuki hospital swasta itu. Alhamdulillah segala urusanku dipermudahkan oleh Allah SWT. Dalam masa dua hari sahaja aku telah mendapat keputusan pemeriksaan. Satu lagi berita yang amat berat untuk aku terima, sakitku itu telah teruk dan tiada jalan lain melainkan melalui pemedahan, dan sekali lagi berita itu aku terima tanpa ada ahli keluargaku di sisi.
Setelah perbincangan antara ahli keluarga, suatu tarikh telah dipersetujui untuk pemedahanku, namun tarikh pemedahan itu terpaksa ditunda kerana keluargaku tidak mahu mengambil sebarang risiko untuk pemedahanku berikutan tarikh hari raya Aidilfitri sangat hampir dengan tarikh pemedahanku. Sekali lagi sakit itu aku kandung untuk beberapa bulan. Namun solat hajat, bacaan Yassin dan keyakinan yang tinggi terhadap kekuasaan Allah SWT tidak pernah aku lupakan.
Alhamdulillah semua urusanku dipermudahkan, dengan bantuan saudaraku yang seorang doktor pakar di salah sebuah hospital di Kelantan telah memudahkan segalanya. Dari situ, rawatan kepadaku dijalankan semula dengan menggunakan segala keputusan pemeriksaan yang didapati di hospital swasta. Setelah beberapa kali berjumpa dengan doktor, akhirnya suatu tarikh pemedahanku telah berjaya diperoleh. Urusan ditempat aku menuntut ilmu telah disempurnakan sebelum menjalani pemedahan. Penangguhan peperiksaan akhir telah dibuat, surat memaklumkan sudah dibuat dan segala-galanya berjalan lancar.
Tarikh yang dinanti-nantikan telah tiba, aku dikehendaki masuk ke hospital dua hari dari tarikh aku dibedah. Pelbagai jenis perasaan bermain di hatiku, takut, resah, berdebar, sedih, gembira semuanya berlawanan antara satu sama lain. Setelah masuk ke hospital aku ditempatkan di dalam wad dan terpaksa menjalani beberapa pemeriksaan sebelum pemedahan.
Malam aku dibedah, perasaan itu semakin kuat mencengkam diriku. Solat hajat dan bacaan Yassin tidak pernah aku tinggalkan dengan harapan kekuatan itu akan terus berada disisiku. Syukur Alhamdulillah, kekuatan dari keluarga dan sahabat handai tidak pernah lekang dari sisiku. Aku juga diminta untuk ‘berpuasa’ beberapa jam sebelum dibedah.
Keesokkan harinya, tepat jam 12.30 tengah hari, aku ditolak ke bilik bedah. Dengan diiringi oleh ahli keluarga aku masuk ke bilik yang pertama kali aku jejaki. Setelah bertarung nyawa dalam tempoh masa tujuh jam, pemedahan itu berjaya. Tiada apa yang boleh aku katakan melainkan ucapan syukur pada Yang Maha Esa atas kesihatan yang diberikan. Suara aku masih ada seperti sedia kala dan tiada masalah yang menganggu kesihatanku lagi. Kata doktor, hormon tiriodku telah dibuang sepenuhnya kerana jangkitan pada kedua-dua belah tengkukku. Setelah berada di wad selama lapan hari aku dibenarkan pulang ke rumah.
Menghadapi hari-hari kesembuhan amatlah memenatkan kerana aku terpaksa ‘berpantang’ dari makan makanan yang boleh membahaykan kesihatanku. Namun berkat kesabaran aku dan berkat kesungguhan ahli keluarga yang tidak pernah jemu menjaga diri ini akhirnya aku sihat seperti sedia kala. Alhamdulillah, meskipun banyak onak dan duri terpaksa dilalui untuk menghadapi kesembuhan itu, akhirnya diri ini sembuh semula. Benar kata orang, yakinlah dengan kekuasaan Allah SWT kerana DIA yang mendatangkan sesuatu penyakit dan DIA lah yang Maha Menyembuhkan penyakit itu. Sekian, Wasallam.
notakaki : Anda pernah merasa kecewa? semua pernah merasainya, oleh itu jangan biarkan perasaan itu menguasai anda. Bangkit segera & terus maju ke hadapan. Jalan di hadapan lebih luas & banyak ruang kosong yang menanti ketibaan anda!
No comments:
Post a Comment