Sunday, November 28, 2010

20 Amalan Agar Terbuka Pintu Rezeki

Assalamualaikum W.B.T

Allah S.W.T dengan sifatNya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tidak sekali-kali mensesiakan hambaNya terutama dari segi pemberian rezeki. Memang pemberian rezeki itu berbeza dan tidak sama antara satu dengan lainnya, namun ia mempunyai hikmah supaya timbulnya perasaan ukhuwah (persaudaraan) agar yang diberi rezeki lebih itu membantu kepada yang kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, sebagai hamba kita tidak disuruh meminta-minta atau mengharap belas kasihan daripada orang lain. Cukuplah Allah S.W.T sahaja tempat bergantung dan tempat meminta pertolongan seperti mana termaktub dalam Surah al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud : "Hanya kepada Engkau kami menyembah dan kepada Engkau kami meminta pertolongan."

Allah S.W.T berjanji akan melimpahkan hambaNya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberianNya apabila hambaNya melaksanakan amalan-amalan tertentu. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah SWT akan memeberikan jalan kepada setiap hambaNya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Antaranya amalkan 20 perkara seperti di bawah ini :

1. Sempatkan diri dengan beribadah
- Allah SWT x akan mensiakan pengabdian diri seorang hamba itu apabila dia melaksanakan ibadanya dengan penuh khusyuk dan istiqamah. Perhatikan firmanNya dalam hadis qudsi yang bermaksud: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." -Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu majah & al-Hakim dari Abu Hurairah RA.


2. Memperbanyakkan istighfar
- Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah SWT, yang menjadi sebab Allah berasa kasih dan kasihan pada hambaNya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Rasulullah: "Barang siapa yang memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka." -Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas RA.


3. Tinggalkan perbuatan dosa
- Mengucapkan istighfar sahaja tidak memberi makna di sisi Allah SWT sekiranya seseorang itu masih melakukan dosa. Dosa bukan sahaja membuat hati menjadi resah malah menutup pintu rezeki.


4. Sentiasa ingat Allah
- Banyak mengingati Allah membuatkan hati menjadi tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah SWT beri kepada orang yang beriman.


5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
- Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar sesiapa yang ingin usianya dipanjangkan dan ditambah rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan (silaturahim). Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi SAW: "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya." -Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami.


6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
- Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakab dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin. Tidak ketinggalan juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.


7. Menunaikan hajat orang
- Apabila kita menunaikan hajat seseorang, menjadi sebab Allah SWT melapangkan rezeki kita dalam bentuk tertunainya hajat kita.


8. Banyakkan selawat
- Ada hadis yang menganjurkan agar kita berselawat jika sekiranya hajat atau cita-cita kita tidak tertunai, kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkab terlaksanaya semua hajat.


"Hai Zubir, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu terletak di Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hambanya sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya."

9. Buat kebajikan sebanyak-banyaknya
- Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, menyempitkan rezeki dan makhluk lain mengutuknya."


10. Mulakan sesuati di awal pagi
- Sabda Rasulullah SAW: 'Berpagi-pagilah kamu (memulakan aktiviti harian, sebaik-baiknya setelah selesai solat Subuh secara berjemaah), kerana perbuatan yang dimulakan di awal pagi itu adalah amalan yang berkat."


11. Menjalinkan silaturahim
- Nabi SAW bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." -Riwayat Bukhari.


12. Melazimkan kekal berwuduk
- Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuklah mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Baginda bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." -Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid-


13. Bersedekah
- Bersedekah mengundang rahmat Allah SWT dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki.


14. Mengamalkan solat malam (tahajud)
- Ada keterangan bahawa amalan solat tahajud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah SWT.


15. Melazimkan solat Dhuha
- Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." -Riwayat al-hakim dan Thabrani.


16. Bersyukur pada Allah
- Syukur ertinya mengakui dan berterima kasih atas segala pemberian dan nikmat daripada Allah. Lawanya adalah kufur nikmat.


17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat al-Qurang tertentu
- Zikir daripada ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.


18. Berdoa
- Berdoa menjadikan seseorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dariNya. Dalam al-Quran, Allah menyuruh kita meminta kepadaNya, nescaya Dia akan memperkenankannya.


19. Berikhtiar sehabisnya
- Siapa yang berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintaNya dan orang yang tidak dicintaiNya, tapi agama hanya Allah berikan kepada orang yang dicintaiNya saja. -Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim.

-Bagi orang yang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya al-Quran, hendak dapat anak yang baik didiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram & sebagainya.


20. Bertawakal
- Akhirnya bertawakallah kepada Allah. Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya oleh Allah. FirmaNya: "Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluanya)." -Surah At-Thalaq ayat 3.

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam erti kata yang sebenarnya, kuncinya adalah membuat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab timbulnya kasih sayang Allah, lalu Allah melimpahi hambaNya dengan keluasa rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

-Sumber Majalah Aniqah (Webah Salleh)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...